Academic journal article International Journal of Islamic Thought

Karl Marx Dan Konsep Perjuangan Kelas Sosial

Academic journal article International Journal of Islamic Thought

Karl Marx Dan Konsep Perjuangan Kelas Sosial

Article excerpt

Abad kesembilan belas membuka lembaran sejarah kegemilangan di Jerman dengan kelahiran seorang tokoh hebat dunia yang memiliki pengaruh kekal dan kuat terhadap sejarah kehidupan manusia. Kekuatan pengaruh keintelektualannya telah menjadi fenomena global abad kedua puluh kerana gagasan pemikiran falsafahnya tidak hanya dijadikan sekadar rujukan ilmiah sahaja, tetapi segala idea dan teori-teori Marxisme digerakkan dalam bentuk tindakan yang realistik bersesuaian dengan keadaan semasa. Tidak hairanlah, jika Karl Marx (1818-1883) menduduki tangga kedua puluh tujuh dari seratus tokoh yang paling berpengaruh dalam sejarah (Hart 1993: viii). Salah satu sumbangan besarnya adalah konsep perjuangan kelas yang menjadi pemangkin kepada kaum buruh untuk bangkit mempertahankan hak dan kebebasan mereka dari terus menjadi 'kuda tunggangan' kaum kapitalis. Lantaran itu, ajaran Marxisme telah dijadikan pegangan perjuangan kaum buruh hampir ke seluruh dunia. Sebagai sebuah ideologi, Marxisme merupakan inspirasi bagi sebahagian besar gerakan pembebasan sosial dan beransur-ansur menjadi gerakan politik dan sosial di pelbagai tempat dan negara. Konsep Historical Materalism dan Dialectic Materialism merupakan ideologi utama yang melahirkan konsep kelas, hubungan antara kelas dan perjuangan kelas dalam gagasan pemikiran Marxisme. Marx meneliti sejarah manusia dari dua aspek iaitu pertama, faktor ekonomi yang memaparkan rangkaian tahap perkembangan ekonomi manusia meliputi kaedah-kaedah mengeluarkan produk keperluan hidup dalam menentukan segala perubahan kehidupan manusia (A. Z. Abidin 1968: 46). Kedua, faktor sosial kerana Marx menggambarkan sifat semula jadi manusia yang suka bergaul. Namun faktor sosial tidak lengkap tanpa berhubung terus dengan faktor ekonomi kerana kehidupan sosial manusia tidak akan bertahan lebih lama melainkan manusia menghasilkan barangan atau produk untuk memenuhi keperluan hidup dan masyarakat sekelilingnya (Ozinga 1991: 40). Marx mengakui bahawa manusia lahir dalam era zaman yang berbeza-beza. Justeru itu, cara dan hubungan pengeluaran turut melalui tahap perkembangan kuasa-kuasa produksi material yang berbeza-beza. Setiap cara pengeluaran digambarkan dengan penguasaan kuasa produktif yang khusus dan satu bentuk hubungan sosial yang awalnya berfungsi untuk membangunkan kuasa tersebut. Aspek utama dalam hubungan tersebut adalah hubungan harta yang akan mewujudkan kelas-kelas sosial. Lantaran itu, muncul dua kelas utama berasaskan jenis-jenis harta yang mempengaruhi pengeluaran keperluan hidup. Satu kelas akan menguasai harta tersebut, manakala kelas lagi satu pula digunakan untuk menghasilkan kekayaan daripada harta tersebut (McLellan 1971: 93). Marx telah mengemukakan lima tahap cara pengeluaran yang berbeza-beza di mana setiap masyarakat perlu merentasinya iaitu tahap Komunis Primitif, Perhambaan Kuno (Classical Slavery), Feudalisme, Kapitalisme dan Komunisme (McLellan 1977: 256). Walau bagaimanapun, pembangunan dan kemajuan terhadap cara dan hubungan pengeluaran turut menyumbang usaha ke arah memacu daya inovasi dan kreativiti manusia melalui penemuan baru seperti penggunaan mesin wap, pembinaan kapal layar dan sebagainya. Cuma bagi Marx, keadaan tersebut akan menambah tekanan terhadap cara pengeluaran sedia ada kerana sejarah perubahan yang berlaku akan mewujudkan perjuangan kelas iaitu penentangan satu kelas ke atas satu kelas yang lain. Kesannya berlaku revolusi yang akan mewujudkan tahap baru bagi sejarah. Lantaran itu, kemuculan tahap baru akan melahirkan kelas atasan baru (new ruling class) yang akan menentang kelas bawahan yang terdiri dari kelas buruh dan petani. Maka tidak hairanlah jika kita meletakkan cara pengeluaran sebagai perintis terhadap kewujudan kelas sosial.

Hubungan antara manusia dan alam yang saling bertukar-tukar dan dikendalikan melalui cara pengeluaran khusus telah menghasilkan cara-cara dan keperluan-keperluan baru bagi memenuhi kemahuan masyarakat. Hubungan tersebut diabadikan oleh Marx dalam teori Dialectic Materialism yang menekankan tiga formula serangkai iaitu Theses, Anti-Thesis dan Syntheses. …

Search by... Author
Show... All Results Primary Sources Peer-reviewed

Oops!

An unknown error has occurred. Please click the button below to reload the page. If the problem persists, please try again in a little while.